Pages
▼
Monday, March 19, 2007
FUKUSHIMA
KAMI keluar dari hotel di Maihama jam 9am dan menaiki kenderaan dari hotel menuju ke Tokyo Eki (stesen keretapi Tokyo). Sejam kemudian tiba di Tokyo Eki (jika menaiki keratapi hanya sekitar 15 minit sahaja). Bergegas ke kaunter tiket Japan Railway (JR) untuk menempah tempat duduk dalam shinkansen (keretapi peluru) ke Osaka. Petugas mencadangkan kami menaiki Shinkansen Hikari SuperExpress jam 10.05am, kerana masih banyak tempat duduk non-smoking. Oh 5 minit, manakan terdaya kami nak mengangkut beg dan kanak-kanak yang dibawa bersama. Lantas kami bersetuju untuk menaiki shinkansen 10:36am walaupun terpaksa berada dalam koc yang dibenarkan merokok.
Operasi mengangkut beg bermula dari pejabat tiket ke platform. Satu misi yang amat memenatkan. Kami berjaya mengangkut beg terakhir pada minit ke-sifar sebelum masa bertolak. Alhamdulillah. Jika tidak terpaksalah kami berpisah dan ada di antara kami terpaksa menaiki keretapi berikutnya.
Sepanjang perjalanan 3 jam ke Osaka, budak-budak amat ceria sekali. Maklumlah mereka pertama kali menaiki shinkansen. Berlari-lari dari car 16 yang kami naiki (belakang sekali) ke car no.1 nun sayup di depan. Macam-macam permainan dipertunjukkan. Pemandangan di sepanjang perjalanan cukup mengasyikkan. Gunung Fuji yang diselimuti salji jelas di depan mata. Berhampiran Nagoya, kiri kanan jalan dan bukit bukau penuh diseliputi salji. Jangkasuhu di luar menunjukkan 5C. Ini merisaukan kami kerana cuaca di Osaka mungkin sejuk juga.
Bullet train ini hanya berhenti selama 2 minit sahaja di Shin-Osaka. Ya cuma 120 saat, tidak lebih tidak kurang. Ia menjadi cabaran kepada kami untuk memunggah keluar 17 buah beg dalam masa 120 saat tersebut. Dengan semua strategi yang ada, akhirnya kami berjaya juga memunggah semuanya dalam masa cuma berbaki 1 atau 2 saat sahaja sebelum Hikari SuperExpress ini meninggalkan Shin-Osaka untuk meneruskan perjalananya.
Kami tiba di Shin-Osaka selepas tiga jam dan seterusnya ke Universal-City setengah jam kemudian untuk check-in hotel. Hotel di sini agak pelik sedikit. Setiap orang diminta serahkan passport untuk proses verifikasi. Kemudian mereka mahu caj bilik mengikut bilangan orang, bukan bilangan bilik. Selepas bertengkar dan pujuk memujuk serta rayu-rayuan, mereka bersedia untuk memberikan diskaun yang menjadikan caj mengikut bilangan orang lebih murah berbanding mengikut bilik.
Universal Studio Japan (USJ) ditutup jam 7:30pm. OLeh itu lebih baik kami berehat sahaja di hotel dan pergi ke USJ keesokan harinya.
Selapas solat Maghrib, saya merayau-rayau di Universal-City. Menaiki keretapi hingga ke Osaka-Eki. Di Pertengahan jalan, bertemu dengan Fukushima, tempat Rudi berkampung selama empat tahun (Dari Banting ke Fukushima)
Memandangkan hotel ini menyediakan internet percuma, maka dapatlah saya berkomunikasi dengan Rudi lewat blog kami.
MBA says:Rudy, saya di Fukushima sekarang, singgah jap on the way to Universal Studio, Osaka.
Rudy Says: Alamak, natsukashii na…
Rudy says: wah seronoknya kalau dapat kembali ke kg halaman semula. ambillah gambar fukushima kalau benar singgah ke sana. semoga selamat pergi dan selamat pulang. saya netah kapan akan kembali semula.
MBA says: Alahai Rudy…. kamera yg dibawa dah habis bateri (kamera HP). Jika kamera Jepun, boleh beli bateri kat sini. Tinggal handphone jer yg bawa charger, amik gambar pakai handphone sajalah nanti.
RUDY Says:ha ha kena ambil jugak gambar Fukushima. :)
Untuk tidak menghampakan Rudy, gambar kat atas tu adalah snap dari telefon saya semasa dalam perjalanan dari Fukushima ke Shin-Osaka ;-)
No comments:
Post a Comment