Pages

Saturday, March 31, 2007

PDA TERBAIK

DALAM dunia teknologi. Dalam dunia ICT. Dalam dunia gajet. Apakah PDA (Personal Digital Assistant) terbaik?.

Dalam dunia ini hanya ada tiga Sistem Pengoperasian (OS) yang utama utama untuk PDA atau mobile office. Ia itu WindowsMobile, Palm dan Symbian. Pada msa ini Palm atau PalmOS aalah yang paling banyak digunakan kerana banyak aplikasi dan perisian yang ditawarkan. Walau bagaimanapaun tidak banyak pengeluar perkakasan (hardware) yang membuat dan memasarkannya. Tinggallah Palm sahaja yang membuat perkakasan dan perisiannya. Sony telah meninggalkan Palm.

Symbian pula nampak semakin meningkat maju. Walau bagaimanapun peningkatan terlalu mendadak OS ini menimbulkan masalah keserasian antara satu versi dengan versi yang lain. Bagi saya OS ini lebih sesuai untuk telefon atau smart-phone berbanding dengan PDA. Nokia, Sony Ericsson dan beberapa lagi pengeluar menggunakan OS ini.

WindowsMobile, macam Windows di PC. Kadangkala crash, kadangkala hang. Namun, kerana ia adalah nama besar dalam perisian, maka banyak pengeluar perkakasan yang menyokongnya. Banyak sekali. iPaq, O2, Dopod banyak lagi. Sebut saja. Saya jangkakan WindowsMobile akan menguasai pasaran PDA di masa hadapan.

NAMUN, minggu lepas saya menghadiri BTM (Black Things Meeting) dan satu lagi jenama PDA telah memikat hati saya. Tanpa OS.


CIRCA dari Levenger.
Sejenis buku nota ala PDA yang kertasnya boleh dikoyak-koyak dan dilekatkan semula.
Boleh dibuat sendiri. Cukup mengkagumkan.
Pelbagai saiz. Macam-macam bentuk.

PDA ini diperkenalkan oleh Chet

Wednesday, March 28, 2007



ESOK BOLEH BALIK

di sini aku tercampak
dalam hutan malam pekat
dalam laut buat rakit
atas darat meniti tiang
dalam kumpulan dok merancang

di sini aku tercampak
KPI
COBIT
ISP
CMMI
misi visi objektif rancang teliti laksana

di sini aku dicampak
kenalilah diri sendiri
kenalilah bos sendiri
kenalilah team sendiri

ah ... Mengapa masih kencing berdiri?

maaf kepada rakyat
duit kena sebat
bagi kerja mencampak
eagle ranch resort (esok boleh balik)

Tuesday, March 27, 2007




GARANG III

PAIP kat rumah saya bocor. Panggil plumber. 3 jam dia buat kerja. Masalah tak selesai. Seluar baju dia habis basah. Yang tersumbat kian sendat. Dia berhenti. Mau balik. Minta upah. Aik? Kerja tak siap, malah tambah teruk, mau upah lagi?.

Demi kesian wang RM50 bertukar tangan. Janji esok mau datang lagi.

Esok tunggu punya tunggu, tak datang. Lusa baru mai. Buat kerja lain, minta upah RM70. Bayar lagi. Janji lagi nak selesaikan masalah kelmarin tanpa kos.

Dua hari kemudian dia mari lagi selepas didesak untuk tunaikan janji. Saya outstation. Kerja tak siap. Minta RM60, isteri saya bayarkan.

Saya call itu apek. Woi kawan, apa lu bikin?. Apa wang lu angkat? Apasal kerja tak siap. Sila pulangkan semula duit. Jangan cakap banyak.

Pagi-pagi esoknya dia datang pulangkan duit (saya masih outstation).

Garang ke?

... Masih outstation
@treo 680


GARANG II

ANAK saya pulang ke rumah. Muka lesi. Sekeping surat bertukar tangan. "anak anda digantung dari sekolah selamat 3 hari berkuatkuasa serta merta kerana kesalahan bergaduh".

Saya tenang sahaja menerima surat ini, namun emak budak ini naik berang. Malu kepada jiran. Geram pada cikgu. Macam-macam.

Esoknya saya bawa anak saya dan berjumpa dengan guru disiplin. Macam biasa, mana boleh tunjuk muka kesian. Tunjuk machoo habis.

+Apa salah anak saya?
-sebenarnya bukan salah dia. Dia tumbuk budak tu. Saya tahu dia mempertahankan diri. Tapi body touching. Jadi kena ambil tindakan.
-Emak budak tu datang komplen. Akan bawa ke atas jika tak ambil tindakan. Jadi saya perlu gantung anak encik.
+saya ada 6 anak cikgu. Ini yg ke5. Tak sangka dia jadi samsing. Yg lain tak pernah kena gantung.
+Gantung sekolah ni kesalahan berat cikgu. Tercatat dalam rekod. Buruk rekod dia, tapi cikgu kata dia tak salah. Kenapa gantung?. Kesalahan pertama patut amaran dulu. Mana boleh terus gantung
-Saya gantung 3 hari saja. Jika maksima ialah 14 hari.
+tak salahpun kena gantung? tak ada rayuan? hukum gantung kat mahkamahpun ada rayuan. Mengapa kat sini tak ada rayuan? Tiada bicara? Siapa yg salah sekarang?. Kat mana prosedur?
-Jika encik nak buat rayuan, sila jumpa HM, saya tak ada kuasa.
+tak perlu jumpa HM, saya nak jumpa Kementerian.
-Janganlah encik, perkara ini boleh selesai. Perkara kecil saja ni.
+Saya perlu ikut peraturan, perlu ikut prosedur. Jumpa HM bukan dalam prosedur.

Akhirnya saya jumpa juga HM dengan menarik muka 14. Tak perlu cakap apa, HM tarik balik hukuman.

Garangkah saya?



GARANG

RAMAI orang beranggapan bahawa saya adalah seorang yang garang. Perlukah saya mengiya atau menafikannya?. Rasanya tidak perlu. Sebabnya agak sukar bagi diri kita sendiri untuk menilai diri sendiri. Kita lebih menjurus untuk meletakkan diri kita bagi yang baik-baik sahaja. Sedangkan orang di sekeliling kita adalah bagai cermin diri kita. Kadang kala ada juga cermin yang menipu .... Cermin ini biasanya rosak dan tidak boleh bekerja sebagai cermin lagi. Ia perlu kembali kepada kaca dan seterusnya pasir.

Sekarang saya berada di Eagle Ranch, dalam satu program untuk menilai diri sendiri. Ukuran dibuat secara saintifik. Ukuran saintifik ini memberikan keputusan yang sama sekali berbeda dengan ukuran (tanggapan?) orang awam yang terdahulu. Saya tak garang!.

yang mana satu nak pakai?. Tunggu entri selanjutnya. Itupun jika ada mood.

... Dari Treo 680 @ Eagle Ranch.

Monday, March 26, 2007

SAKURA DAN TEMBUSU

DULU saya bersekolah di Wakaf Tembusu. Wakaf ini terletak di Gong Badak. Gong ini terletak di Seberang Takir. Anda carilah sendiri lokasinya menggunakan google earth atau yang seumpama dengannya. Sungguhpun begitu saya tidak pernah nampak (atau menghairaukan) akan pokok mahupun bunga tembusu yang ada di situ. Cikgu dan orang kampung juga tidak pernah ingin memberi tahu tentang wakaf, tembusu dan apatah lagi mengenai gong dan badak yang berada di situ. Itu memang sudah sebati dengan sikap orang kita (termasuk saya). Jika tidak percaya, anda renungkanlah semula asal usul kampung anda, sekolah anda dan sebagainya.

SEMASA saya singgah sebentar di Jepun untuk belajar, orang di sana cukup peka mengenai pohon dan bunga Sakura. Jadi, saya lebih mengenali bunga Sakura berbanding dengan bunga Tembusu. Semoga saudara Abdullah Jones dapat memafkan saya kerana lebih mengenali Sakura berbanding Tembusu (Dolah kata Tembesu).


tembusu putih
kuantan kota iman
aku dan engkau



putih sakura
Tokyo metropolitan
hati sejiwa

Sunday, March 25, 2007

NOKIA

SAYA bercadang untuk memperkenalkan penggunaan PDA (Personal Digital Assistant) di tempat kerja. Buat sedikit kajian perbandingan antara WindowsMobile (WM), Symbian dan PalmOS. Beberapa jenama PDA diuji. Cadangan dibuat. Kertas diperakukan.

Walau bagaimanapun akhirnya ...... bos kata "saya mahu Nokia". NOKHTAH



Hmmmm.... Nokia menggunakan perisian sistem Symbian. Nampaknya SEP990I saya tu tak jadilah masuk lelong.com


Khabar angin kata Palm akan dibeli oleh samada Motorolla ataupun Nokia. Bilalah agaknya akan jadi Nokia-Palm?.

Masih garu-garu kepala, Ingatkan Nokia Communicator 9500 atau 9300 atau yang terbaru N90. Tapi rupa-rupanya E61.



~ connecting people

BILA BERJAUHAN

KHAMIS-Sabtu lepas saya keluar kota lagi. Bila berada berjauhan begini, bila talian internet tidak ada, apa yang perlu anda lakukan?.

Setakat nak terima panggilan, hantar SMS bolehlah. Nak baca e-mel macamana?. Nak tengok laman web dan nak kemaskini blog macamana pula?.

Saat-saat beginilah telefon 3G Sony Ericsson P990i yang saya bawa bersama tidak lagi dapat membantu. Dah puas saya cari perisian untuk kemaskini blog. Tidak jumpa (mungkin ada, tapi saya tak jumpa).

Akhirnya Palm jugalah yang jadi penyambung bicara. Dengan menggunakan Palm, kita ada perisian Vegablog yang boleh mengemaskini blog. Ia tidak perlu akses kepada internet, memadai dengan ada talian telefon sahaja. Tidak perlukan 3G, GPRS sahaja.

Palm selamanya

Thursday, March 22, 2007

LAWATAN PERTAMA KE JEPUN

myJICA telah mengadakan lawatan ke Jepun, khusus bagi mereka yang belum pernah ke sana. Ia diadakan pada 11 - 17 Mac yang lepas.

Lihatlah apa yang mereka perolehi hasil dari lawatan tersebut:-

Pertama Kali Ke Jepun

* MBA tidak menyertai mereka kerana bertugas (cuma bersama semasa penerbangan pergi dan balik sahaja).

Wednesday, March 21, 2007

FTA - APAKAH SEBENARNYA?

Apakah sebenarnya FTA atau Perjanjian Perdagangan Bebas (Free Trade Agreement)?.

1.Jika perkara ini bagus, mengapa banyak pihak di negara ini yang membantah?.

2.Jika perkara ini tidak bagus, mengapa kerajaan kita terus berunding dengan Amerika untuk menandatangani FTA ini?.

3.Ada laporan mengatakan semua negara yang telah menandatangani FTA dengan Amerika, seperti Mexico, Australia, Amerika Latin dan Singapura telah mendapat kerugian yang bukan kepalang setelah menandatangani FTA dengan Amerika. Apa sebenarnya yang berlaku?

4.Kononnya lagi 2 juta petani Mexico kehilangan pekerjaan kerana tidak dapat bersaing dengan petani Amerika (misalnya harga gandun di Mexico sebelum FTA ialah $2. Selepas FTA, Amerika jual gandum kepada Mexico 20 sen saja, maka petani dah tak boleh cari makanlah. Menganggur lebih baik).

5.Jika banyak lagi negara kerugian kerana FTA, jika banyak rakyat negara lain menentang FTA, mengapa kita meneruskannya lagi?

* Apa sebenarnya FTA ini?. Sesiapa yang dapat memberikan penerangan mudah, amat dialu-alukan.

Tuesday, March 20, 2007

NUR BUAT GEMINI


NUR BUAT GEMINI adalah sebuah novel yang amat istimewa kepada saya. Ia adalah sebuah novel remaja dan saya bukan lagi seorang remaja, malahan bapa kepada beberapa orang anak remaja.Nur Buat Gemini diberikan kepada saya oleh pengarangnya Sdr Norashikin Wahid dengan ucapan "selamat membaca" dan saya telahpun selesai membacanya.

Saya terlalu jarang (bukan tidak pernah) menerima pemberian percuma. Ini mungkin kerana:-
1. Saya mungkin bukan muka rezeki.
2. Saya suka berterus terang.
- Jika bagus dikatakan bagus, jika tidak adalah sebaliknya. Walaupun tanpa suara.
3. Saya tidak pandai sangat berterima kasih.
- Saya sangat berterima kasih sebenarnya, namun terlalu sukar untuk meluahkannya.

Nur Buat Gemini sangat istimewa bukan hanya kerana saya memulakan pembacaannya di Disneysea dan menghabiskannya di Disneyland, dua destinasi fantasi yang amat digilai oleh remaja, khususnya dari Jepun. Oh ya, novel ini telah bermalam di sebuah hotel paling mahal bersama pembacanya, JPY55,000 semalam. Hotel MiraCosta yang berada di dalam Disney Sea.

OK, berbalik kepada novel ini, ia menceritakan tentang kehidupan seorang kanak-kanak bernama Siti Hajar sehingga remaja dalam keluarga dan persekitarannya. Siti Hajar yang berbintang Gemini adalah berkaitan dengan tajuk novel ini. Keistimewaan Siti Hajar semenjak kanak-kanak, bersekolah tadika, sekolah rendah dan menengah sememangnya cukup istimewa.

Proses pembacaan novel ini berjalan lancar tanpa tersekat atau terganggu. Bahasa yang digunakan adalah mudah, tidak menggunakan teknik yang 'bukan-bukan' (seperti mana kebanyakan novel sekarang). Barangkali ia bertepatan dengan sasaran pembacanya, iaitu remaja. Pendek kata ia memang sangat berbaloi. Bukan hanya kerana ia adalah percuma, tetapi memang sunguh-sunguh berbaloi.

Terima kasih daun keladi Norashikin (saya ada mel untuk anda jika anda mahu).

Monday, March 19, 2007

FUKUSHIMA II

HAIKU Rudy mengenai Fukushima:-

FUKUSHIMA

Empat musimmu
Fukushima desaku
Rendang di kalbu

24 September 2003



FUKUSHIMA ll


Tinggalkan Banting
Fukushima ku redah
Ilmu ditimba

Abdul Atan Din
Serdang, 24 September 2003.

FUKUSHIMA


KAMI keluar dari hotel di Maihama jam 9am dan menaiki kenderaan dari hotel menuju ke Tokyo Eki (stesen keretapi Tokyo). Sejam kemudian tiba di Tokyo Eki (jika menaiki keratapi hanya sekitar 15 minit sahaja). Bergegas ke kaunter tiket Japan Railway (JR) untuk menempah tempat duduk dalam shinkansen (keretapi peluru) ke Osaka. Petugas mencadangkan kami menaiki Shinkansen Hikari SuperExpress jam 10.05am, kerana masih banyak tempat duduk non-smoking. Oh 5 minit, manakan terdaya kami nak mengangkut beg dan kanak-kanak yang dibawa bersama. Lantas kami bersetuju untuk menaiki shinkansen 10:36am walaupun terpaksa berada dalam koc yang dibenarkan merokok.

Operasi mengangkut beg bermula dari pejabat tiket ke platform. Satu misi yang amat memenatkan. Kami berjaya mengangkut beg terakhir pada minit ke-sifar sebelum masa bertolak. Alhamdulillah. Jika tidak terpaksalah kami berpisah dan ada di antara kami terpaksa menaiki keretapi berikutnya.

Sepanjang perjalanan 3 jam ke Osaka, budak-budak amat ceria sekali. Maklumlah mereka pertama kali menaiki shinkansen. Berlari-lari dari car 16 yang kami naiki (belakang sekali) ke car no.1 nun sayup di depan. Macam-macam permainan dipertunjukkan. Pemandangan di sepanjang perjalanan cukup mengasyikkan. Gunung Fuji yang diselimuti salji jelas di depan mata. Berhampiran Nagoya, kiri kanan jalan dan bukit bukau penuh diseliputi salji. Jangkasuhu di luar menunjukkan 5C. Ini merisaukan kami kerana cuaca di Osaka mungkin sejuk juga.

Bullet train ini hanya berhenti selama 2 minit sahaja di Shin-Osaka. Ya cuma 120 saat, tidak lebih tidak kurang. Ia menjadi cabaran kepada kami untuk memunggah keluar 17 buah beg dalam masa 120 saat tersebut. Dengan semua strategi yang ada, akhirnya kami berjaya juga memunggah semuanya dalam masa cuma berbaki 1 atau 2 saat sahaja sebelum Hikari SuperExpress ini meninggalkan Shin-Osaka untuk meneruskan perjalananya.

Kami tiba di Shin-Osaka selepas tiga jam dan seterusnya ke Universal-City setengah jam kemudian untuk check-in hotel. Hotel di sini agak pelik sedikit. Setiap orang diminta serahkan passport untuk proses verifikasi. Kemudian mereka mahu caj bilik mengikut bilangan orang, bukan bilangan bilik. Selepas bertengkar dan pujuk memujuk serta rayu-rayuan, mereka bersedia untuk memberikan diskaun yang menjadikan caj mengikut bilangan orang lebih murah berbanding mengikut bilik.

Universal Studio Japan (USJ) ditutup jam 7:30pm. OLeh itu lebih baik kami berehat sahaja di hotel dan pergi ke USJ keesokan harinya.

Selapas solat Maghrib, saya merayau-rayau di Universal-City. Menaiki keretapi hingga ke Osaka-Eki. Di Pertengahan jalan, bertemu dengan Fukushima, tempat Rudi berkampung selama empat tahun (Dari Banting ke Fukushima)

Memandangkan hotel ini menyediakan internet percuma, maka dapatlah saya berkomunikasi dengan Rudi lewat blog kami.

MBA says:Rudy, saya di Fukushima sekarang, singgah jap on the way to Universal Studio, Osaka.

Rudy Says: Alamak, natsukashii na…

Rudy says: wah seronoknya kalau dapat kembali ke kg halaman semula. ambillah gambar fukushima kalau benar singgah ke sana. semoga selamat pergi dan selamat pulang. saya netah kapan akan kembali semula.

MBA says: Alahai Rudy…. kamera yg dibawa dah habis bateri (kamera HP). Jika kamera Jepun, boleh beli bateri kat sini. Tinggal handphone jer yg bawa charger, amik gambar pakai handphone sajalah nanti.

RUDY Says:ha ha kena ambil jugak gambar Fukushima. :)


Untuk tidak menghampakan Rudy, gambar kat atas tu adalah snap dari telefon saya semasa dalam perjalanan dari Fukushima ke Shin-Osaka ;-)

Sunday, March 18, 2007

AINA



+Onama-e wa?
-Nama saya Aina. Umur saya ampat tahun (sebenarnya umur Aina 3 tahun)
+Dochira-e?
-Visit Malaysia 2007
+This is 20sen for you
-domo arigato gozamasu

(wah berapa bahasa engkau boleh cakap ni Aina?)
Inilah Aina, seorang kanak-kanak Jepun yang menjadi teman saya sepanjang perjalanan 7 jam dari Tokyo ke KLIA.

Friday, March 16, 2007

PANAS TAPI SEJUK

bahang mentari
sepoi di musim bunga
dingin terasa


SEMASA saya menghadiri seminar JICA di Jakarta minggu lalu (sekarang seminar JICA di Osaka), loghat bahasa Melayu antara dua negara, Malaysia dan Indonesia ternyata berbeda sekali.

Pada awalnya saya berutusan e-mel dengan Pak Edhie menggunakan bahasa Melayu (sengaja saya buat-buat slangga Indonesia), namun Pak Edhie membalasnya dalam bahasa Inggeris. Lebih cocok gitu katanya, nanti kita tidak ketemu titik nokhtahnya.

Dalam dewan seminar, penghawa dingin dipasang dengan maksima. Kami kesejukan. Komplen kepada petugas. Sejuk!. Mereka senyum-senyum. Angguk-angguk. Sejuk tetap sejuk juga.

Rupa-rupanya sejuk dalam bahasa Indonesia ialah nyaman, damai!. Jika komplen dingin, barulah betul, barulah dinaikkan sedikit suhunya.

Oh bahasa.... Semalam saya bercakap Melayu dengan Jepun di sini dan dia faham. Sebabnya dia tak tahu BI. ;-)

Wednesday, March 14, 2007

SALAM DARI JEPUN

KONNICHIWA;

Salam dari Jepun. Sekarang saya di Osaka. Kepada yang bertanya cara murah ke Jepun, nak sewa ryokan dll, nanti balik Malaya saya terangkan. Kepada yang minta izin nak link, dipersilakan.

wassalam.

Sunday, March 11, 2007

BIN ABDULLAH

KITA tertarik dengan keputusan fatwa negeri Perlis Indera Kayangan bahawasanya mereka yang memeluk ugama Islam tidak dibenarkan (diharamkan?) menukar nama mereka kepada ... bin Abdullah. Ini adalah untuk menjaga nasab atau nama keluarga supaya tidak hilang begitu sahaja.

Ketertarikan kita itu menjurus kepada beberapa persoalan yang memerlukan jawapan:

1. Berapa ramai agaknya Bin Abdullah masa kini di negerin Perlis?
- Jika belum ramai elok sangatlah diramaikan lagi, itu lebih afdhal.
- Adakah kewujudan Bin Abdullah ini banyak menimbulkan masalah

2. Sudahkah fatwa ini di Malaysiakan?
- Bagi mualaf yang nak kekalkan nama, pergi ke Perlis
- Bagi mereka yang nak tukar nama, jangan ke Perlis
Hasilnya satu negara macam-macam ada.

3. Untuk menjada nasab keluarga, bukankah elok nama-nama orang Melayu di Malaysia ini difatwakan supaya mengekalkan nama datuk-nenek-moyang mereka?. Sesungguhnya nama orang Melayu di Perlis dan di Malaysia ini hanya bertahan untuk diu generasi sahaja, iaitu anak bin bapa. Kemudian dah hilang ditelah oleh zaman. Elok jika dikekalkan nasab keluarga bukan?.

Wallahualam.

Saturday, March 10, 2007

CARA MURAH MELANCONG KE JEPUN

ESOK saya akan ke Jepun atas satu dua urusan.

Ramai orang berpendapat dan percaya bahawa melancong ke Jepun adalah mahal. Ia mungkin benar sekiranya anda belum bertemu dengan pakej yang murah. Ia juga benar sekiranya anda memang ingin melancong dalam suasana lima bintang.

Bagi saya, melancong ke Jepun tidaklah semahal yang disangka. Bagi 'pakej' yang saya ikuti ini, tambang penerbangan pergi balik cuma RM1200 sahaja (boleh dapat RM699 sahaja semasa MAS fair). Adakah penginapan di Jepun mahal? Memang ya. Namun kita boleh tinggal di ryokan (hotel tradisional Jepun). Saya tinggal di ryokan dengan bayaran Yen1,900 sehari, iaitu sekitar RM60 sahaja sehari. Tinggal seorang sebilik, jika nak berkongsi bilik, dapat lagi murah. Selebihnya adalah tambang pengangkutan di sana. Saya beli sekeping pas yang dinamakan JR Pass bagi perjalanan seminggu yang sah digunakan bagi seluruh Jepun. Ia meliputi bas, keretapi, tren, LRT dan feri yang dipunyai oleh JR (Japan Railway). Saya boleh gunakan JR Pass ini untuk menaiki shinkansen (keretapi laju atau keretapi peluru) dari utara ke selatan dan sebaliknya bagi seluruh Jepun. JR Pass tidak dijual di Jepun, tetapi di Malaysia. Sekiranya anda hanya ingin melawat satu dua tempat sahaja, misalnya di Tokyo sahaja, JR Pass tidak diperlukan, tetapi belilah pas harian dengan harga Yen1000 (RM30).

Apa lagi yang diperlukan? Makan. Jika anda memang kuat makan, di Jepun (dan di mana jua) memanglah mahal. Namun jika anda boleh makan ala kadar sahaja ataupun tidak segan untuk masak (atau panaskan lauk) sendiri, sudah tentu anda boleh berjimat.

Bagaimana ingin dapatkan lebih maklumat mengenai pelancongan murah ke Jepun ini?. Hubungilah saya...... (seminggu tak kemaskini blog rasanya).

KORUM

HARI ini kami mengadakan mesyuarat agung tahunan (MAT). MAT ini perlu diadakan seyahun sekali mengikut perlembagaan. Korum mesyuarat ialah setengah daripada bilangan ahli atau dua kali ganda bilangan komiti eksekutif (EXCO). Ini bermakna korum mesyuarat ialah 28 orang kerana bilangan EXCO ialah 14 orang.

Namun kehadiran cuma 16 orang sahaja. Apa nak buat? Apa dah jadi?. Setelah 20 tahun, inilah kali pertama MAT perlu ditangguhkan!.

Oh..... ini bermakna persatuan kita telah mencapa suatu tahap atau mertabat yang tinggi. Setaraf dengan satu persatuan tu..... yang sentiasa tak cukup korum dalam AGM mereka.

Tuesday, March 06, 2007

3G

Minggu depan saya ingin mengembara. Pengembaraan ke destinasi yang tidak boleh dihubungi melalui telefon bimbit melainkan jika menggunakan telefon 3G. Hanya pada saat begini sahajalah 3G itu mustahak dan perlu. Sedangkan pada hari-hari biasa, terlalu jarang 3G diperlukan.

Ini samalah dengan memiliki sebuah van atau MPV. Ia diperlukan untuk balik kampung sekali sekala ataupun kadang-kadang bercuti seisi keluarga. Pada hari-hari biasa, setiap hari gunakan MPV bersendirian sahaja. Minyak, cukai jalan dan semuanya dibayar dengan harga MPV untuk seorang!.

Friday, March 02, 2007




HAIKU BOWLING
bola dihayun
pin sedia menanti
bertemu longkang