NAMPAK gayanya semakin banyak (ramai?) jenazah orang Melayu (Islam?) disemadikan di kubur orang kafir. Satu demi satu ditemui. Dapat tuntut satu, dapat tanam satu, korek satu, satu lagi dituntut semula. Tak habis-habis.
Kubur orang Melayu ditemui di tanah perkuburan orang Cina. Pihak berkuasa ugama (Islam) bersungguh-sungguh nak buat uji-kaji aka DNA untuk pastikan memang sahih dan akan korek kubur tersebut untuk disemadikan di perkuburan Islam.
Jika ditemui pula kubur orang Cina (yang tak/belum bersunat), apakah pihak berkuasa ugama juga akan korek dan gali untuk disemadikan di tempat lain pula?. Tak habis-habis gaduh-gaduh pasal berebut orang mati.
Jika dah 40 tahun jenazah si-anu disemadikan di jirat Cina, apakah faedahnya digali (barangkali tulangpun dah takj ditemui lagi) dan kemudiannya disemadikan di tanah perkuburan Islam?. Adakah keIslaman si-mati terjejas semata-mata kerana tidak dikuburkan di satu-satu kubur?.
Bukankah ramai lagi orang hidup yang perlu diperbetulkan akidah mereka supaya matinya di jalan yang lurus?. Mungkin juga Unit Orang Mati lebih agresif berbanding dengan Cawangan Orang Hidup kot.
Sambut raya sama-sama kongsi, mati boleh jadi sama-sama temui ajal, tapi mana boleh dikuburkan sama-sama?. ha ha ha ha.
Agaknya kan.... (agak sajalah ni) si Melayu yang disemadikan di jirat Cina tu, lebih kerap diziarahi dan dibersihkan kuburnya berbanding dengan Melayu yang ditanam di kubur Melayu. Berapa kerap orang Melayu ziarah kubur?.
Ayo...yo banyak syusahlah ini macam.
Jika ada Nas tolong beritahu ya, saya memang tak tahu. Hukum akal tak boleh pakai
Jais siasat jirat ada nama Islam
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
Identiti Harun Mohamad akan disemak di JPN
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menyiasat dan mengenal pasti identiti Harun Mohamad melalui rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesahkan sama ada lelaki berkenaan benar-benar wujud serta sahih beragama Islam.
Pengesahan melalui JPN itu perlu bagi membongkar misteri kewujudan batu nisan tertera nama berkenaan dijumpai sekumpulan krew penggambaran di sebuah tanah perkuburan cina terletak lima kilometer dari Hospital Sungai Buloh.
Pengarahnya, Mohammed Khusrin Munawi, berkata pihaknya akan ke kawasan perkuburan itu bagi meninjau jirat Cina itu bagi memastikan sama ada jasad lelaki itu dikebumikan dalam satu liang lahad besar bersama jasad lain atau berasingan.
“Jais akan turun padang menyiasat perkara ini dengan terperinci kerana kes ini kes rumit yang melalui banyak prosedur termasuk pengesahan identiti serta usaha mengesan warisnya selain perlu mencari tenaga kerja yang menyemadikan jasad terbabit.
“Jika, jasad Harun Mohamad ditanam dalam satu liang lahad berasingan daripada jasad lain maka Jais akan menjalankan kerja menggali semula secepat mungkin dan akan memindahkannya ke kawasan perkuburan Islam,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Berita Minggu semalam melaporkan penemuan batu nisan yang tertera nama lelaki Melayu, Harun Mohamad di jirat Cina yang menempatkan mangsa tragedi 13 Mei 1969.
Batu nisan misteri itu terletak dalam kawasan petak seluas 30 meter lebar dan 50 meter panjang dipagari binaan simen yang mana batu nisan disusun rapat, dipercayai jasad semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad besar.
Mohammed Khusrin berkata, proses memindahkan jasad akan menjadi rumit sekiranya JPN tidak dapat mengesan identiti sebenar Harun Mohamad sekali gus gagal memastikan sama ada dia benar-benar wujud dan beragama Islam.
“Malah, jika Harun Mohamad disemadikan dalam satu liang lahad besar bercampur dengan jasad bukan beragama Islam maka keadaan mungkin menjadi lebih sukar kerana kita tidak mungkin dapat mengenal pasti yang mana satu jasadnya kerana ia sudah disemadikan lebih 37 tahun.
“Jais mencari jalan penyelesaian terbaik mengendalikan kes ini, namun kita perlu berserah kepada Allah supaya dipermudahkan urusan mengesan identitinya,” katanya.
Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, jika jasad Harun Mohamad dikebumikan dalam satu liang lahad besar bersama jasad orang bukan Islam disebabkan darurat seperti bencana alam dan peperangan maka ia dibenarkan syarak.
Sehubungan itu beliau berkata, sekiranya Harun Mohamad disemadikan dalam satu liang lahad besar bersama-sama jasad orang bukan Islam sekali gus menyebabkan usaha mengecam jasadnya sukar berikutan faktor masa maka Islam tidak mewajibkan perkara itu dilaksanakan.
“Islam tidak akan menyusahkan umatnya untuk melakukan sesuatu perkara yang sukar atau mustahil untuk dilakukan, melainkan jasad Harun Mohamad dikebumikan berasingan maka tindakan mengalihkan jenazahnya wajib disempurnakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment