Pages

Tuesday, October 25, 2005

KENANGAN RAYA 40 TAHUN LALU

EMPAT PULUH tahun nan lalu, wa dah sambut raya (dan puasa yang yok jugaklah). Apakah yang membezakan raya pada tahuan 1960-an dengan raya di zaman millineum ini?. Rasanya raya tu sama saja, cuma orangnya saja yang berbeza kot (dulu budak, sekarang dah jadi bapak budak-budak).

Biasanya halaman rumah kami dan seluruh kampung dihiasi dengan pelita, samada dari tin susu ataupun buluh semenjak malam tujuh likur lagi. Pelita ini biasanya disusun sebaris dan cantik sekalilah pemandangannya. Namun suatu kelainan (rasanya) bagi rumah kami. Ayah selalu letakkan pelita ini berselang seli di kiri kanan jalan sekitar rumah. Sejak kecil lagi aku ni jenis yang kritis agaknya, memberi tahu ayah yang susun-atur pelita begitu tak cantik, cuma tengok rumah orang lain, cantik sahaja susunan pelita mereka. Ayah akan mmeberi jawapan dalam bentuk soalan. "Pelita ini untuk apa?. Untuk cantik atau untuk terangkan jalan untuk orang datang dan kita lalu pada malam gelap?. Jika untuk cantik, lebih baik letak lukisan saja sepanjang jalan itu. Kita kena tengok fungsi dia, bukan kosmetik". Lebih kurang gitulah ayah cakap. Mungkin dari itu jiwa aku telah dididik dengan praktikaliti hinggalah sekarang.....

Seingat aku juga, time raya begini kawan-kawan sebaya semuanya dapat pakai kasut "kulit" (asalkan warna hitam, walaupun ia plastik/baldu/dll, kami panggil kasut kulit ler...). Lagi sekali, sebab praktikaliti, ayah tidak pernah membelikan aku kasut raya warna hitam. Semua kasut yang dibeli ialah kasut sekolah (adoi.... belianya pakai kasut sekolah untuk beraya, tapi apa boleh buat..... itu pegangan ayah yang tidak boleh dipertikaikan).


Nak tentukan tarikh hari raya pada zaman itu sikit punya susah. Kadang-kadang bila dijangka raya, tak raya. Bila jangkaan tak raya, raya pulak. Tarikh hari raya begitu penting diketahui awal oleh penduduk kampung sebab kuih/juadah hari raya dulu adalah berbeza dengan yang sekarang. Biasanya pada pagi sebelum raya, Tokki akan membakar lemang. Dari pagi hinggalah Asar barulah lemang tu masak. Tup...tup hari raya diistiharkan lusa, maka kalau mood masih baik, Tokki akan bakar semula lemang untuk jadikan ia fresh pada hari raya. Jika mood dia kurang baik, atau dia merajuk sebab tak jadi raya, maka dia panaskan sajalah lemang itu untuk juadah raya. Biasanya lemang ini dimakan bersama dengan madu daripada tebu yang diperah sendiri oleh Tokki (sedap tau! .... tapi zaman sekarang entah kat mana boleh dapat benda tu). Biasanya juga emak akan buat tapai pulut 2-3 hari sebelum raya. Jika hari raya terawal, maka tapai itu tidak masak (tidak dihidangkan) dan jika hari raya terlambat, maka tapai tersebut sudah over. Begitu juga dengan sembelihan. Orang kampung akan bergotong royong sembelih seekor lembu sehari sebelum raya. Jika esok jadi raya, maka daging lembu tersebut bolehlah dimakan pada hari raya, jika tidak pada raya tersebut tak adalah daging. Kami bukan ada peti ais untuk simpan daging. Ingat.... bukan tak mampu nak beli peti ais (aku tak pernah dengarpun tentang perkataan peti ais), tetapi sebab kampung kami tidak ada elektrik.

Oh ya.... air batu ketul adalah orang jual sepanjang bulan puasa dan untuk hari raya. Air batu ini dibalut/disaluti dengan habuk kayu yang diperolehi dari sawmill berdekatan untuk melambatkan proses pencairannya.

Pada pagi raya, rumah pertama (dan terakhir kot) yang kami ziarahi ialah rumah Tokki yang berjiran dengan rumah kami. Tokki ni bukanlah Atuk aku (aku tak pernah kenal Tok dan Tokki sebelah emak dan Tokki sebelah ayah). Tokki ini ialah ketua kampung. Cucu-cucu Tokki adalah kawan sebaya aku. Jadi ramailah orang datang beraya di rumah Tokki. Apa kami buat masa raya ni?. Duduk-duduk, salam-salam raya, main mercun, makan kuih dan itu sajalah. Duit raya?. ah itu jam mana ada duit raya.... dapat 20 sen tu kira dah banyaklah. Tapi sesekali bila ayah bawa kami beraya di rumah abang dia (Pak sedara aku lah), maka dapatlah duit RM1. Dia ni ialah Dato' (polis atau mata-mata gelap) dan jarang bekerja dalam negeri. Posting dia selalu di luar negeri (bukan luar negara). Jadi aku tak rapat dengan sepupu-sepupu aku yang ini, sebab budaya kami berbeza (mereka cakap luar.....)

Oh ya... pada malam-malam sebelum raya, aktiviti utama kami buidak-budak ialah main meriam buluh. Kami berlawan dari kampung ke kampung. Lawan tembak-tembak dan dengar meriam buluh kampung mana lagi hebat bunyinya. Sepanjang zaman raya bertahun-tahun tu, tak ada pula berita kemalangan sebab meriam buluh ni. Tokki memberikan perhatian yang tinggi terhadap keselamatan cucu-cucu dia, dia ikat kuat-selamat meriam buluh ni sebelum diluluskan untuk bermain.

Oh ya.... bagi budak yang besar aka remaja, hari raya (biasanya raya kedua), merteka akan pergi tengok wayang...... (TV tak ada ...). Itu sajalah rasanya hari raya 40 tahun yang lalu dan..... balik kampung memang tak ada sebab kami memang duduk di kampung.


SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA. MAAF ZAHIR BATIN.

No comments:

Post a Comment