Pages

Monday, January 17, 2005

HAIKU MINGGU INI

Pada kali ini saya berhasrat untuk membuat sedikit ulasan terhadap haiku mengenai unsur musim. Lima haijin yang menghantar haiku mereka ke komuniti haiku dipilih mengikut kesesuaian dengan tema (musim) yang dimaksudkan.

Dalam memperkatakan “haiku yang baik”, kita tidak boleh tidak terpaksa merujuk dan berpandukan kepada haiku dari haijin agung, iaitu Basho, Furu ike ya kawazu tobikomu muzu no oto terjemahan bebas ke dalam BM lebih kurang begini, Kolam nan tua/ kodok terjun ke dalam/ percikan air.

Selain daripada itu, haiku Melayu terbaik yang telah diberi pengiktirafan oleh pihak Jepun dalam kategori kanak-kanak ialah Bunga berkembang/ Unggas terbang nan bebas/ Damainya hati


BEBAS – Rudy Bluehikari
Langit nan biru/ burung bermain riang/angin berlagu

Unsur musim begitu jelas dalam haiku ini yang diwakili oleh baris pertama dan kedua. Pembayang haiku juga amat jelas dan dapat dinikmati oleh pancaindera yang biasa. Haiku ini istimewa apabila disertakan dengan versi Jepun (romanji dan juga kanji) serta haiga (lukisan haiku) seekor burung melayang atau terbang. Kainatn antara ‘langit nan biru’ dan ‘burung bermain riang’ mungkin bermaksud burung sedang bermain di atas pokok atau dalam sangkar. Itu adalah fahaman biasa perkataan ‘bermain’. Namun daripada haiga yang disertakan menunjukkan burung terbang. Jika haijin bermaksud demikian, maka mungkin baris kedua boleh ditukar kepada ‘burung melayang riang’ dan seumpama dengannya.

Baris ketiga ataupun maksud haiku ini ‘angin berlagu’ mungkin tidak begitu jelas mengenai hasrat sebenar haijin. Namun ia tidak menjejaskan apa-apa dalam kategori haiku yang baik seperti mana haiku Basho. Secara keseluruhannya saya kagumi haiku ini, apatah lagi apabila diiringi dengan haiga yang begitu bermakna.

BAHAGIA – Saleha Ahmad
Kudup berkembang/ malam semakin dini/ hati semerbak

BAHAGIA ialah sebuah haiku yang bagus dan unik. Haiku ini mempunyai makna berganda yang menarik.‘kudup berkembang’ dengan jelas menggambarkan musim. Bunga berkembang bukan pada setiap masa atau musim. Baris pertama ini juga membawa makna berganda, misalnya ‘cinta berkembang’, itu ialah suatu perlambangan yang dibawa oleh haijin secara tidak langsung.

Kaitan di antara baris pertama dan kedua agak kabur. Adakah haijin bermaksud kudup berkembang di waktu dinihari? (memang ada bunga yang hanya berkembang waktu malam sahaja – jika demikian lebih elok diberikan nama bunga tersebut, bukannya kudup). Baris kedua juga menceritakan secara langsung mengenai suasana ketika itu, iaitu larut malam. Sebuah haiku yang baik biasanya mempunyai pembayang diwakilkan dengan objek-objek untuk menggambarkan suasana. Misalnya ‘ayam pulang ke reban’ boleh mewakili waktu senja. Oleh itu ‘malam semakin dini’ boleh diwakili dengan objek seperti ‘embun jantan menitis’ dan yang seumpama dengannya.

Baris ketiga haiku ini dengan jelas merujuk semula kepada pembayang di baris pertama mengenai kudup dan menguatkan lagi makna berlapis haiku ini. Inilah merupakan satu contoh haiku yang baik.

BULAN YANG PENUH – dipinggiran
Bulan yang penuh/ pungguk di dahan tinggi/ bisikan syahdu

Bulan Yang Penuh adalah menceritakan suatu perkara biasa dalam cara yang biasa. Syarat penting sesebuah haiku yang baik ialah haijin perlu mencatatkan peristiwa semasa (present tense) bukan peristiwa semalam atau esok. Ini bermakna seolah-olah haijin mesti berada di lokasi di mana kejadian yang dilaporkan berlaku. Haiku Bulan Yang Penuh sememangnya menepati kriteria ini.
Baris pertama sememangnya mewakili musim. Bukan yang penuh berlaku Cuma beberapa hari sahaja dalam sebulan dan hanya boleh jelas kelihatan sekiranya cuaca terang. Ungkapan lain yang boleh digunakan bagi baris pertama ialah ‘bulan pertama’. Salah satu senarai semak untuk menilai sesebuah haiku ialah samada ungkapan yang digunakan boeh digantikan dengan ungkapan lain atau sebaliknya. Dari ungkapan alternatif ini, pilihlah yang terbaik.

Bulan dan pungguk adalah merupakan dua objek biasa dalam masyarakat kita. Baris pertama dan kedua haiku ini adalah yang dikatakan sebagai dikatakan sebagai perkara biasa yang diceritakan dalam keadaan biasa. Haiku yang istimewa perlu ‘menceritakan perkara biasa dalam cara yang berbeza. Mungkinkah ‘bulan purnama/ pungguk mencari tikus’ adalah sesuatu yang berbeza?.

Kemuncak dari haiku ini ialah bisikan syahdu yang boleh dikategorikan sebagai makna berganda. Siapakah yang berbisik?. Adakah pungguk berbisik kepada bulan atau haikin mendengar bisikan lain atau haijin sendiri yang berbisik?.
Bulan Yang Penuh atau mungkin lebih paat lagi bulan purnama banyak mempunyai cirri-ciri haiku yang baik.


Kepulangan TabirAlam
Koc musim sejuk / henti stesyen bersalju /Tok senyum gembira

Maksud tersirat dari haiku ini ialah kegembiraan seorang Atok yang barangkali dengan sabar menunggu sekian lama orang tersayang di stesen keretapi. Orang yang ditunggu boleh jadi cucu, anak atau buah hatinya.

Dalam menggambarkan tentang musim, haijin perlu memilih objek dan bukannya bercerita secara langsung tentang musim. Misalnya bagaimanakah rupanya koc musim sejuk? Adakah ia berbeza dengan koc musim panas? “koc musim sejuk” secara langsung bercerita tentang musim sejuk, kerana masakan koc musim sejuk berjalan di musim panas. Sekiranya koc musim sejuk dan musim panas ini berbeza, haijin hendaklah bercerita mengenai keadaan fizikal koc tersebut sebagai objek dan biarkan pembaca berfikir dan mengaitkannya dengan muzim dan gambaran lain yang ingin dibawa. Katakanlah koc musim sejuk bewarna biru dan koc musim panas bewarna putih, maka ‘koc musim sejuk’ boleh digantikan dengan ‘koc warna putih’.

Baris kedua ‘henti di stesen bersalju’ adalah merupakan pelengkap kepada baris pertama untuk menceritakan tentang musim sejuk juga.
Barangkali kata haiku ini ingin menyamai haiku kodok karya Basho, ia boleh ditulis begini:

Perigi nan tua (stesen bersalji)/ kodok terjun ke dalam (keretapi berhenti)/ air berkocak (atok gembira).


MENITI KEHIDUPAN – EP
Kabus Nan Tebal/ Duri Merobek Baju / Melangkah Maju

Meniti Kehidupan mungkin bukan sebuah haiku biasa. Haiku ini banyak meninggalkan banyak persoalan atau teka teki kepada pembaca.
Kabus nan tebal adalah mewakili musim. Pembaca boleh meneka sendiri musim apa. Duri merobek baju pula mungkin merupakan sambungan daripada suasana berkabus. Namun persoalan yang ditimbulkan ialah siapa yang dimaksudkan dalam objek ini. Soalan siapa ini berlarutan kepada baris ketiga ‘melangkah maju’. Ia itu langkah siapa, untuk ke mana dan mengapa.

No comments:

Post a Comment