Pages

Tuesday, November 23, 2004

AWAS! … ANDA MUNGKIN SEORANG PENCURI


mendaki bukit
jalur lebar nan tinggi
terasa perit

KATA orang, tidak ada satupun dalam dunia ini boleh didapati secara percuma. Jika begitu bagaimana dengan blog anda yang pada zahirnya anda tidak perlu bayar apa-apa, bukankah itu percuma?. Entahlah, agak susah untuk menerangkannya. Walau bagaimanapun, jika anda diberikan weblog percuma, pernahkah anda terfikir apa yang diperolehi oleh pemberi?. Dari mana dia akan dapat duit untuk menyediakan segala kemudahan untuk anda nikmati secara percuma tersebut?. Adakah anda berfikir yang anda telah mendapat keuntungan kerana dapat barang percuma dan mereka telah rugi kerana memberi barang yang ada harga secara percuma?.

KATA orang juga, biasanya barang percuma ini tidak elok. Barang yang berbayar adalah lebih baik. Mungkin ada benarnya kata-kata ini.

DIPENDEKKAN cerita, saya ada menyewa ruang server (webhosting) untuk meletakkan data dan maklumat saya yang kebanyakannya adalah imej. Blogger hanya benarkan masukkan teks sahaja secara percuma kan?. Imej tidak dibenarkan. Imej dalam blogger hanya boleh dimasukkan secara link dari tempat lain. Mengapa Blogger kedekut sangat tak beri ruang untuk imej?. Jawapannya ialah imej ambil ruang yang besar dan sudah tentu mahal kos storannya. Setiap kali akses, sejumlah bandwidth yang besar diperlukan. Setiap syarikat webhosting memberikan limit kepada bandwidth ini. Maknanya selain dari storan, bandwidth juga adalah mahal harganya.

Saya membayar sejumlah wang dan diberikan storan sebanyak 50MB dan limit bandwidth cuma 1.5GB sahaja sebulan. Ia lebih dari mencukupi untuk keperluan saya (dan kroni) kerana weblog kami bukanlah popular sangat. Bukan macam blog Mat Jan, Sultan Muzzafar ataupun Tok Rimau. Biasanya tidak sampai suku dari limit bandwidth tersebut digunapakai setiap bulan. Namun pada bulan Oktober limit telah mencecah 1.5GB dan akses telah ditamatkan. Saya mengadu kepada company dan mereka naikkan ke 3GB. Bulan November 3GB juga sudah tidak mencukupi (sekarang sudah ada 2.9GB digunakan sedangkan bulan Nov. ada lagi 10 hari). Apakah sebabnya?. Bandwidth saya telah DICURI!.

Adakah anda salah seorang daripada pencurinya?. Mungkin tidak, sebab saya telah mengenalpasti siapa yang mencurinya. Oleh kerana perbuatan beliau telah menimbulkan kesusahan kepada saya dan telah memaksa saya mengeluarkan wang tambahan untuk mengatasinya, maka saya takrifkan perbuatan ini sebagai mencuri. Saya yakin dia tidak sengaja. Jika dia tidak sengaja, anda (dan saya juga) mungkin juga tidak sengaja. Adakah perbuatan tidak sengaja yang telah menyusahkan orang lain tidak dikira berdosa?. Dalam mahkamah dunia, saya boleh sabitkan kesalahan tersebut kepada beliau kerana menggunakan kepunyaan saya tanpa meminta keizinan. Tapi saya tidak mahu berbuat begitu. Jika saya halalkan, (dan jika saya ikhlas) mungkin saya dapat pahala yang lebih besar dari wang ringgit.

Ceritanya begini: saya masukkan sekeping grafik kad raya dalam laman berbayar saya. Kemudian dia ni telah link ke kad raya tersebut ke lamannya. Lamannya begitu popular dan audit yang saya buat menunjukkan sebahagian besar dari bandwidth adalah kerana kad raya tersebut. Grafik tersebut bernama raya.gif. Mungkin juga ada telah terambilnya?. Saya telah delete dari server saya. Kesilapan saya ialah kerana tidak meletakkan copyright dalam laman dan tiada trademark pada grafik. Jika tidak, rasanya dia akan berfikir banyak kali sebelum menggunakannya.

Pengajaran dari cerita: Berhati-hati nak buat link terhadap hak orang lain. Tengok copyright dulu. Minta izin dulu. Jika tidak anda mungkin berdosa jika ia tidak halalkan.


No comments:

Post a Comment