Pages

Wednesday, November 12, 2003

BERBUKA DI HOTEL

Sememangnya memberi makan kepada orang yang berpuasa itu amat besar pahalanya. Hatta pada bulan-bulan lainpun, memberi makan kepada orang lain adalah sangat dituntut, apatah lagi pada bulan puasa. Jika di kampung-kampung, majlis berbuka puasa atau moreh ini biasanya dilakukan di masjid-masjid. Bagi kita yang tinggal di bandar, adalah menjadi suatu kebiasaan juga menerima jemputan berbuka puasa di hotel-hotel. Kebanyakan hotel akan menyediakan pakej khusus untuk berbuka puasa dan pada kebiasaannya juga beberapa bilik hotel akan disediakan sebagai surau sementara untuk memudahkan tetamu bersembahyang maghrib, khususnya.

Saya sudah menerima lima – enam jemputan untuk berbuka puasa di hotel-hotel begini, namun azam pada tahun ini ialah seboleh-bolehnya tidak mahu berbuka di luar. Berdasarkan pengalaman masa-masa lalu, adalah menjadi suatu kemestian bagi saya untuk terlepas sembahyang terawih apabila menerima jemputan untuk berbuka di hotel. Selepas berbuka, sembahyang maghrib dan jamuan makan. Ia kemudian diikuti pula dengan sembang-sembang dalam pelbagai topik dengan pelbagai lapisan. Dilema di sini ialah untuk meminta izin pulang segera untuk menunaikan terawih. Adalah lebih mudah lagi untuk menolak pelawaan berbuka rasanya berbanding dengan pulang lebih awal di kala pelbagai pihak ingin bercerita dan mendengar cerita.

Mungkin elok kiranya bagi pihak korporat yang inginkan pahala menjamu orang yang berpuasa supaya membuat majlis berbuka puasa di masjid berbanding dengan di hotel. Bukan sahaja kosnya lebih murah, malahan mudah-mudahan mendapat keberkatan yang berganda jua. Kini ada beberapa masjid yang boleh menguruskan majlis berbuka puasa yang ekslusif bagi pihak tertentu dalam bilik-bilik yang disediakan mengikut tempahan. Di samping itu pihak masjid masih lagi mengadakan majlis berbuka untuk jemaah dan orang awam. Dengan itu rasanya sudah tentu para jemputan tidak risau akan terlepas untuk berterawih…


---------- dari kamus dewan ------------
Moreh = kenduri di masjid dalam bulan puasa
Iftar = Akhir (habis) puasa

No comments:

Post a Comment