Pages

Tuesday, October 28, 2003

PENGARAH YANG KECUNDANG …


PENGARAH YANG KECUNDANG …
Jangan Ada Dusta Versi Lelaki - Siri 14
Baca siri 13 di http://sridiah2u.blogspot.com


Sebenarnya aku ingin menjadi seorang pengarah. Setelah kecundang menjadi pengarah di pejabat, aku berhasrat untuk menjadi pengarah di rumah sahaja. Mengarah sebuah drama swasta keluarga bahagia. Untung-untung jika ada anugerah bapa mithali atau suami mithali, maka aku adalah salah seorang daripada calon-calonnya. Namun oleh kerana pelakon-pelakonku semuanya demand dan berlakon mengikut skrip sendiri sahaja saban hari, jadi mengapa tidak aku pula berlakon sendiri dalam skrip yang aku tulis dalam drama yang aku arahkan sendiri.

Sebenar Saerah, orang gaji kami dibersarakan lima tahun lalu secara kebetulan dia ingin berkahwin dan kami sekeluarga pula ingin ke UK selama setahun kerana dia dianugerahkan biasiswa oleh British Council untuk membuat sarjana dalam bidang penulisan di University of Leeds. Sementara anak-anak dapat merasa bersekolah di sana, aku pula mengambil cuti tanpa gaji untuk menjadi ‘sura’ rumah tangga sepenuh masa. Jadi boleh dikatakan asas-asas lakonan ini telah aku pelajari selama setahun menetap di bumi orang putih itu.

Aku sebenarnya amat terkilan dengan JPA yang tidak mahu meluluskan pinjaman pelajaranku walaupun aku juga telah mendapat tempat untuk belajar di sana. Aku bukannya memohon biasiswa, cuma pinjaman yang akan dibayar balik kemudiannya. Alasan kukuh JPA ialah umurku telah melebihi dari syarat kelayakan. Walhal untuk dikirakan logik akal, aku masih mampu untuk melunaskan segala pinjaman tersebut sebelum usia bersara.

Kembali kepada dunia lakonan, setakat berlakon sebagai suami yang penyayang, suami yang romantik, bapa yang alim dan yang sewaktu dengannya sememangnya tidak menjadi persoalan kerana ia sememangnya lumrah dan naluri aku sendiri. Anak yang dibesarkan oleh datuk dan nenek di zaman kecilnya sememangnya begini. Jadi sempena dengan hari pertama Ramadhan ini, awal-awal lagi aku ke dapur menyiapkan juadah bersahur untuk kami sekeluarga. Cuma nasi goreng resepi Mak Siti beserta sup perencah adabi. Itulah makanan kegemaran anak-anak kami sewaktu bersahur. Yalah pada jam 4-5 pagi, makanpun sambil memejam mata. Jika masakan lain tentu mereka akan meminum air sahaja untuk bersahur. Setelah selesai semuanya, menggerakkan dia untuk bersahur dahulu berdua dan dalam agak terpinga-pinga dan mamai, dia nonong saja ke dapur dan kami bersahur bersama dalam keadaan yang begitu romantik. Romantik kerana kami hanya makan tanpa banyak berkata-kata, cuma sesekali jeling-jeling dan tersipu sendiri.n Oh nampaknya lakonan pertama ini hampir berjaya dan bolehlah aku memasukkan jarum selanjutnya. Mudah-mudahan berjaya …

No comments:

Post a Comment