Labels

Friday, December 31, 2004

TAWAR MENAWAR




kebaya batik
merah kuning dan biru
pitis beribu


SEMASA menemani isteri membeli belah di Pasar Kedai Payang, teringat saya kepada cikgu Colin. Apa tidaknya, sebagai orang Melayu di negara sendiri dan bercakap dalam sleng tempatanpun masih terasa diri tertipu apabila membeli. Baju batik serupa yang dibeli setelah jenuh ditawar rupa-rupanya diletakkan harga yang jauh lebih murah di kedai sebelah. itupun ia bukanlah harga mati dan masih boleh ditawar.

Kembali kepada cikgu Colin, beliau berasal dari USA dan mengajar subjek biologi di Sekolah Menengah Sains, Gong Badak, Kuala Terengganu. (Sekarang SESMA - Sekolah Sains Sultan Mahmud). Pada masa itu, di tahun 70an gula dijual kati dan beras disukat cupak dan gantang. Cikgu Colin rasa dirinya sentiasa ditipu apabila membeli apa sahaja termasuk bahan-bahan dapur begini. Kami murid-muridnya menyuruhnya menawar bagi setiap barang yang ingin dibelinya. Buat-buat tak mahu dan keluar dari kedai itu jika pekedai tidak memberikan harga yang ditawar. Kesian kat cikgu Colin, yang terpaksa menjadi sukarelawan dan mengajar kami kerana beliau enggan menjadi tentera kerahan tenaga di Vietnam. Usaha beliau menawar tidak pernah berhasil. "Saya orang putih, orang Melayu benci sama orang putih, mereka suka tipu orang putih. Tapi tipu ini berdosa, nanti boleh masuk neraka". Itulah antara kata-katanya yang masih saya ingat. Pada masa itu kami cuma gelakkan dia sahaja. Masakan orang Islam yang sembahyang boleh masuk neraka kerana tipu orang kafir yang tidak sembahyang. Itulah pegangan kami budak-budak. Namun perbuatan 'tipu' dalam jual beli ini begitu menjadi-jadi. Ia telah sebati dengan peniaga. Walau bagaimanapun peniaga Melayu cukup takut untuk menipu sukatan dan timbangan. Barangkali kerana terdapat ayat dalam kitab yang secara terang melarangnya.

Begitu juga halnya dengan peniaga Arab di Mekah. Walaupun kebanyakan mereka boleh berbahasa Melayu, namun harga yang ditawar dalam bahasa Arab adalah lebih murah dari harga yang ditawar dalam bahasa Melayu.

Adakah menjual harga berbeza kepada orang yang berlainan ini tidak dinamakan menipu?. Aku menjual, jika dia mahu beli, kita adakan aqad dan sahlah jual beli itu. Apa pulak dosanya?. Dari sudut lain pula, ada kalanya pembeli terpaksa membeli kerana ia suatu keperluan, suatu kewajipan. Jika barang keperluanpun boleh dijual dengan harga yang berbeza-beza mengikut kasta, bahasa adakah ia bukannya menipu?. Bukankah peniaga yang "jujur" adalah bakal penghuni syurga?. Jika dijual berbeza harga kerana pembeli lebih pandai menawar, mungkin ada juga munasabahnya. Wallahualam.

- dari Treo600.

No comments: